Tuesday, March 8, 2011

KREATIVITI

Tokoh yang menjelaskan maksud kreativiti

        E.Paul Torrance (1974) memberikan definisi kreativiti sebagai proses yang mana seseorang menjadi peka terhadap masalah kekurangan, jurang pengetahuan, unsur-unsur yang hilang, ketidak harmonian dan sebagainya, mengenal pasti perkara-perkara yang sukar, mencari penyelesaian, membuat tekaan atau membentuk hipotesis tentang kekurangan-kekurangan itu, menguji dan mengkaji semula hipotesis-hipotesis ini dan memungkinkan pengubahsuaian dan mengujinya semula dan akhir sekali menyalurkan keputusannya kepada orang lain.

 June King McFee,  mentakrifkan kreativiti sebagai keupayaan seseorang mencipta sesuatu yang baru/ mampu mengolah idea baru/ lain yang lebih bermakna. Seni tidak terhad kepada hasil karya seni sahaja tetapi juga melibatkan pengalaman estetika.
      Menurut Helbert Read, kita tidak hanya mengajar kanak-kanak mengetahui, tetapi juga pada masa yang sama, mengajar mereka mencipta. Untuk mengetahui fakta (otak kiri) adalah suatu perkara dan menukarkan fakta kepada bentuk baru memerlukan keupayaan membuat metafora (otak kanan) adalah suatu perkara lain, yang merupakan fungsi pemikiran kreatif. Bagi mempertingkatkan daya kreativiti seseorang, pembelajaran dan pengalaman aktiviti pendidikan seni adalah diperlukan.
      Mengikut Viktor Lowengfeld (1975), kreativiti ialah suatu naluri (instinct) semula jadi sejak lahir yang dimiliki oleh setiap orang. Naluri itu adalah faktor pertama digunakan bagi menyelesaikan atau membuat pernyataan tentang masalah kehidupan. Keinginan pula menjadi asas yang mendorong seseorang berupaya menyelidik dan meneroka sesuatu. Tanpa naluri dan keinginan, manusia tidak akan bertindak.
      Kajian Fryer dalam tahun 1989 (Fryer 1996) telah mendapat respons tentang maksud kreativiti. Antara maksud yang diberi ialah kreativiti adalah sesuatu yang asli, satu proses separa sedar, sesiapa sahaja boleh menjadi kreatif tetapi tidak semua orang kreatif, kreativiti melibatkan pemikiran dan khayalan dan kreativiti adalah kebolehan untuk melihat sesuatu dalam cara yang berbeza, untuk mencari kepuasan dalam membuat atau menghasilkan sesuatu dan memerlukan ketekunan sehingga terhasilnya suatu produk.
     Viktor Lowenfeld dan Brittain (1982) menjelaskan, kreativiti berkait dengan suatu garis panduan atau prinsip yang perlu diikuti oleh seseorang iaitu menghasilkan atau memikirkan sesuatu yang baru, berbeza dan hasil yang unik, melalui proses pemikiran bercapah, motivasi yang tinggi, sentiasa mempunyai bentuk pemikiran yang terbuka, hasil yang tidak diduga, galakan memperkembangkan dan meningkatkan idea sendiri, kelainan, unik, individual dan keaslian, berlaku proses pemikiran kreatif, mementingkan proses dan bukan hasil, kekuatan pengetahuan dan kemahiran, keinginan meneroka sendiri, mampu mengkritik, menilai, idea dan subjek dimanipulasikan serta dikaji, teliti menggunakan langkah-langkah perkembangan kreatif : sumbang saran, penggunaan baru, adaptasi, modifikasi, magnifikasi, penyusunan semula, pengunduran, membuat penyenaraian dan dimensi lain (analogi).
      Edward De Bono (1992), menyatakan bahawa menjadi kreatif bermaksud mewujudkan sesuatu yang belum pernah ada iaitu sesuatu yang baru dan mempunyai nilai. Sesuatu hasil yang kreatif sepatutnya tidaklah mudah atau merupakan sesuatu yang biasa. Ianya mesti merupakan sesuatu yang unik dan jarang ditemui.
      Dunn (1992), mengatakan bahawa kreativiti ialah keupayaan untuk menjana idea baru, melihat masalah dari sudut yang baru dan mengambil risiko dalam mencuba sesuatu yang tidak pernah dicuba sebelumnya. Kreativiti berkait rapat dengan pengetahuan, kemahiran asas dan pemikiran kritis dan ianya boleh difahamkan sebagai penggunaan pengetahuan dan maklumat dengan cara baru.



      

       Maksud kreatif 
-Kreativiti didefinisikan sebagai kemampuan untuk mencipta sesuatu yang unik, asli, berguna, bernilai dan ia berkait rapat dengan kemahiran membuat dan imaginasi. Untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif, maka ianya harus mempunyai kecerdasan kreatif. Kecergasan kreatif mengandungi empat gaya iaitu inovatif, imaginatif, intuitif, dan ilham bagi menghasilkan sesuatu yang baru dan berbeza terutama bagi penghasilan sesebuah karya seni.

- Pemikiran kreatif adalah pemikiran yang menerbitkan idea iaitu berlawanan dengan pemikiran kritis yang membuat penilaian ke atas sesuatu idea. Idea yang diterbitkan bersifat baru dan kadang-kadang berlawanan dengan logik. Namun, pemikiran kreatif mestilah berasaskan manipulasi segala pengalaman dan pengetahuan yang sedia ada. Menerusi pengalaman dan pengetahuan yang dimilikinya, seseorang itu akan berusaha mencari pelbagai input idea dalam pelbagai perspektif dan dimensi bagi mewujudkan idea atau hasil yang baru yang lebih baik daripada sebelumnya dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Keadaan ini dijelaskan oleh Rikards (1990) sebagai, “Creativity involves escaping from stuckness and opening up possibilities.”

-Kamus dewan (1993) memberikan maksud kreativiti sebagai kemampuan (kebolehan) mencipta daya kreatif, kekreatifan.

-Menurut kamus Webster’s (1976) pemikiran kreatif ialah, “The ability to bring something new existence”. Definisi ini memperlihatkan kreativiti itu adalah kebolehan mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali. Apabila direnung dan difikirkan secara mendalam, dapatkah manusia yang mempunyai sifat yang lemah mewujudkan sesuatu yang baru sama sekali, iaitu daripada ‘tiada’ kepada‘ada’. Definisi ini seolah-olah melambangkan suatu tingkah laku dan pemikiran manusia yang hebat, dapat melakukan apa saja yang diinginkan. Malah, dalam keadaan kritikal sekalipun, manusia masih dapat membuktikan kemampuannya menyelesaikan sesuatu masalah. Maka, dapatlah disimpulkan definisi ini terlalu ekstrem bagi menggambarkan kemampuan dan kebolehan manusia berkreativiti. Menurut John (2002); “Only God could create, and whatever he created was original. Man could only rearrange what God had created.”
Namun yang pasti menurut de Bono (1970), kreativiti itu memang berlaku tanpa disedari oleh manusia itu sendiri. Lantaran itu, sehingga kini terdapat ribuan maksud berkenaan pemikiran kreatif dan kesemuanya dapat disimpulkan sebagai berikut (Hassan, 1989) dan (Nik Azis, 1994); “Terminologi kreatif berasal daripada perkataan Latin ‘creare’ yang bermaksud ‘membuat’ (to make). Manakala dalam bahasa Greek pula, ‘Krainein’ yang membawa makna ‘memenuhi’. Dalam bahasa Inggeris ‘create’ atau ‘cipta’ dalam bahasa Melayu.”Bagaimanapun, konsep kreatif dan kreativiti amat luas dan tidak rigid berdasarkan ruang, tempat dan masa. Malah, konsep kreativiti boleh dilihat dalam pelbagai sudut berdasarkan latar belakang seseorang seperti ahli agama, peguam, jurutera, doktor, pemandu bas, ahli akademik, ahli politik dan sebagainya.

-Malah menurut Leong (2000), sesetengah sarjana yang liberal mentafsirkan; “People who copy concepts and ideas,” sebagai memenuhi ciri-ciri kreatif. Ringkasnya, istilah kreatif dan kreativiti digunakan bagi menggambarkan produk sosial yang dihasilkan.

1 comment:

  1. Salam..mohon izin utk ambil info..tapi saya perlukan nama penuh blogger untuk citation.terima kasih

    ReplyDelete